Alhamdulillah, hampir tidak terasa tempoh setahun empat bulan saya mengajar kitab Matnu Safinatun Naja (feqh mazhab syafie) di surau ledang. Kami menggelarnya Pondok Ledang. Maka telah khatamlah sebuah lagi kitab, setelah para penuntut ilmu bersabar mengharungi pengajian, menadah kitab bertalaqqi bersama saya yang faqir ini selama setahun lebih. Walaupun sebenarnya kitab ini hanya kecil dan nipis sahaja.
Hampir lima tahun saya yang hina ini menjadi khadim menyampaikan ilmu di Surau Ledang, yang akhirnya saya jadikannya sebagai Pondok Ledang (tempat saya mengajar kitab2 kuning).
Bererti hampir lima tahun juga orang-orang seperti Haji Omar, Haji Osman, Haji Azman, Haji Elias, Imam Misran, Hamdan, dan ramai lagi penuntut ilmu sabar bertalaqqi bersama saya.
Dalam tempoh tersebut mereka telah pun mengkhatamkan beberapa buah kitab dalam beberapa fan seperti:-
Fan/Ilmu Tajwid :- Miftahut Tajwid (khatam), Tajwid al-Faatihah (khatam).
Fan/Ilmu usuluddin :- Manzumah Aqa’idul Awwam (khatam). Jawahirul Kalamiyyah (masih mengaji/belum khatam). Tuhfatur Raghibin (masih mengaji/terhenti/belum khatam).
Fan/Ilmu Nahu & Saraf :- Matnu al-Ajurumiyyah (khatam). Syarah Mukhtasar Jiddan, (khatam). Ta’lim Lughatul ‘Arabiyah (masih mengaji/belum khatam). Dhammun serta madkhul (masih mengaji/belum khatam).
Fan/Ilmu Feqh:- Matnus Safinatun Naja, (baru khatam). Kifayatul Ghulam, (akan menyusul, insya’ Allah). Munyatul Musolli, (masih mengaji/belum khatam).
Fan/Ilmu Hadis:- 40 Hadis Mendidik Jiwa siri 1 (khatam). 40 Hadis Mendidik Jiwa siri 2 (khatam). Arba’in lin Nawawi (akan menyusul, insya’ Allah).
Pengajian Tafsir:- Surah al-Faatihah, (khatam). Surah Yunus, (khatam). Surah al-Kahfi, (khatam). Surah al-Humazah, (khatam). Surah an-Naas, (khatam). Surah al-Falaq, (khatam). Surah al-Kauthar, (khatam). Surah an-Naazi’at, (khatam). Surah al-Fil, (khatam). Surah al-Insyirah, (masih mengaji/belum khatam). Surah Sajdah (akan menyusul, insya’ Allah).
Fan/Ilmu Tasauf dan lain-lain:- Adab Imam dan Makmum, (khatam). Muhimmah, (masih mengaji/belum khatam). Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatil Qulub, (masih mengaji/belum khatam). Durratun Naasihin, (masih mengaji/belum khatam). Bahrul Maazi, (khatam bab janaiz, jilid 7). Sairus Saalikin, (khatam Muqaddimah, Fasal pertama, Fasal kedua, Fasal ketiga & Fasal keempat. Juzuk 1). Hidayatus Saalikin, (khatam Fasal pada menyatakan adab orang yang belajar).
Demikianlah beberapa buah kitab yang dibaca dan akan dibaca dari kulit ke kulit. Dimulakan dengan kitab2 peringkat rendah membawa ke peringkat tinggi. Mudah-mudahan semua usaha ini dikira sebagai amal yang soleh, yang diberi ganjaran pahala dan keberkatan serta keredhaan Allahu subhanahu wa taala.. Amin.
Kepada murid-murid yang dikasihi, telah diberi ijazah talaqqi, telah disertakan sanad pengajian, telah diberi wasiat demi wasiat. Maka beramallah dengan ilmu yang diperolehi.
Berkata Syeikh Ibnu ‘Abbad di dalam Syarah Hikam, ia naqal daripada Ibnu ‘Athaillah rahimahullahu taala : -
اِعْلَمْ أَنَّ الْعِلْمَ حَيْثُمَا تَكَرَّرَ فِى الْكِتَابِ الْعَزِيْزِ وَالسُّنَّةِ ، إِنَّمَا الْمُرَادُ بِهِ الْعِلْمُ النَّافِعُ الَّذِىْ تُقَارِنُهُ الْخَشْيَةُ وَتَكْتَنِفُهُ الْمُخَافَةُ . قاَلَ اللهُ تَعَالَى: إِنَّمَا يَخْشَ اللهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ، فَتَبَيَّنَ أَنَّ الْخَشْيَةَ تُلاَزِمُ الْعِلْمَ ، وَفُهِمَ مِنْ هَذَا أَنَّ الْعُلَمَاءَ إِنَّمَاهُمْ مِنْ أَهْلِ الْخَشْيَةِ . وَكَذَلِكَ قَوْلُهُ تَعَالَى: وَقاَلَ الَّذِيْنَ أُوْتُوْاالْعِلْمَ ، وَالرَّاسِخُوْنَ فِى الْعِلْمِ ، وَقُلْ رَبِّ زِدْنِىْ عِلْماً ، وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : إِنَّ الْمَلاَ ئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ ، وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : اَلْعُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ ، وَقَوْلُهُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : طَالِبُ الْعِلْمِ تَكَفَّلَ اللهُ تَعَالى بِرِزْقِهِ . إِنَّما الْمُرَ ادُ بِالْعِلْمِ فِى هَذِهِ الْمَوَاطِنِ الْعِلْمُ النَّافِعُ
Ertinya : “Ketahui olehmu bahawasanya kelebihan ‘ilmu yang berulang-ulang sebut di dalam ( قرآن ) yang ‘aziz yakni yang mulia dan di dalam Hadits Nabi ( صلى الله عليه وسلم ) hanya sungguhnya murad ( - yang dimaksudkan - ) dengan dia itu iaitu ‘ilmu yang memberi manafaat yang menyertai akan dia takut akan ( الله تعالى ) dan melengkapi akan dia itu haibah kepada ( الله تعالى ), seperti firman ( الله تعالى ) (Surah Fathir, ayat 28, yang ertinya) : “Hanya sanya mereka yang takut akan ( الله تعالى ) itu iaitu daripada hamba-Nya yang ‘ulama.” Maka menyatakan Ia akan bahawasanya takut itu melazimkan akan ‘ilmu dan (di) faham daripada ini bahawa ‘ulama itu hanya sanya mereka itulah orang yang takut akan ( الله تعالى ). ( Dan ) demikian lagi firman ( الله تعالى ) ( Surah Al-Qashash, ayat 80) : yakni (maksudnya) “( Dan ) berkata mereka yang mempunyai ‘ilmu.” ( Dan ) firman ( الله تعالى ) (Surah Ali Imran, ayat 7) : yakni (maksudnya) “( Dan ) mereka yang mahir di dalam ‘ilmu.” ( Dan ) firman ( الله ) (Surah Thaha, ayat 14) : yakni (maksudnya) “Kata olehmu ya Muhammad tambahi oleh-Mu ya Tuhan-ku akan ‘ilmuku.” ( Dan ) demikian lagi sabda Nabi ( صلى الله عليه وسلم ): yakni (yang ertinya ) : “Bahawasanya segala Malaikat itu merendahkan akan sayapnya itu kerana membesarkan orang yang menuntut ‘ilmu.” ( Dan ) sabda Nabi ( صلى الله عليه وسلم ): yakni (yang ertinya) : “(Bermula) ‘ulama itu mempusakai akan Anbiya’.” ( Dan ) sabda Nabi ( صلى الله عليه وسلم ) : yakni (yang ertinya) : “( Bermula ) orang yang menuntut ‘ilmu itu telah mengakui ( - menjamin oleh - ) ( الله تعالى ) dengan rezkinya.” ( Hanya sesungguhnya ) murad ( yang dimaksudkan ) dengan ‘ilmu pada segala tempat ini, yakni pada segala ‘ilmu yang tersebut di dalam ( قرآن ) dan segala yang tersebut di dalam Hadis Nabi ( صلى الله عليه وسلم ) itu, iaitu semuanya dikehendaki dengan dia itu (adalah) ‘ilmu yang memberi manafaat pada agama ( dan ) di dalam Akhirat. ” [lihat Sairus Salikin, Syekh Abdul Samad al-Falembani]
Kepada pembaca dan pelawat blog ini, doakan saya agar terus belajar dan mengajar ilmu-ilmu Islam kepada sekalian ummat. Semoga saya diberi kekuatan sebagaimana yang telah dilalui dan ditempuh oleh tok-tok guru dan ulamak yang telah meninggalkan kita atau yang masih menabur bakti mencurah ilmu di pondok2 atau di mana saja.
Ya Allah!. Terimalah doa dari kami semua. Amin..
Berikut memori sebahagian tonggak pondok ledang (terbaru) ... dan penerima syahadah talaqqi & ijazah sanad & riwayat siri ketiga..